myBIM tawar sistem lengkap pembinaan

MOHAMAD FARID ABDUL HAMID bersama logo Pusat Pemodelan Maklumat myBIM.

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) melancarkan Pusat Pemodelan Maklumat Pembinaan, myBIM, sebuah pusat sehenti yang berperanan sebagai pusat rujukan untuk mempromosi dan meningkatkan penggunaan sistem dalam kalangan penggiat industri pembinaan.

Pengurus Besar myBIM, Mohamad Farid Abdul Hamid berkata, sistem itu yang mula beroperasi sejak November 2017 memberi peluang kepada lebih ramai penggiat industri terutama syarikat kecil dan sederhana memanfaatkan Pemodelan Maklumat Pembinaan (BIM) di dalam projek pembinaan.

“Pusat myBIM menyediakan kemudahan perkhidmatan perisian BIM pada kadar bayaran berpatutan dan turut menjadi tempat rujukan dan latihan berteknologi bagi pemaju, kontraktor, perundingan dan pembekal industri pembinaan negara.

“Penubuhan myBIM sebenarnya bertujuan mempromosikan BIM secara lebih meluas kerana pengoperasian program ini asasnya memerlukan kos yang tinggi, dapat menjimatkan kos dan masa pembinaan oleh industri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Farid berkata, BIM pada asasnya merupakan sebuah sistem simu­lasi pemodelan bangunan atau apa juga struktur yang hendak dibina.

“Kelebihan menggunakan BIM termasuk penyediaan visua­lisasi reka bentuk seni bina, membantu industri dalam mengintegrasikan reka bentuk grafik kepada tiga dimensi (3D) untuk menganggarkan keadaan bangunan sebenar, sekali gus dapat mengurangkan konflik reka bentuk serta peningkatan risiko membina rangka semakan,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad Farid berkata, penggiat industri pembinaan berpeluang menggunakan myBIM yang beroperasi di Menara Sunway Putra dengan menyediakan pelbagai kemudahan termasuk myBIM Studio untuk kegunaan sewaan secara harian, stesen kerja yang boleh memuatkan 22 orang, empat skrin besar paparan cecair kristal (LCD), sistem siar raya (PA) dan juga stesen percetakan 3D.

 

 

– UTUSAN/ROY AZIS ABD AZIZ
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/mybim-tawar-sistem-lengkap-pembinaan-1.779810#ixzz5Vet5cZw3
© Utusan Melayu (M) Bhd